Wednesday, August 12, 2015

Bayan Tentang Kisah Pembunuh 99 Orang

Hadith daripada Sahih Muslim:

Nabi s.a.w bersabda : Terdapat seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia. Lalu dia mencari seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang rahib,
(Masyarakat di situ ketika itu tidak mengenali yang manakan orang alim dan yang mana bukan alim. Disangkanya rahib yang banyak beribadat sebagai orang alim, sedangkan ada hadith yang mengatakan syaitan lebih takut dengan satu orang alim berbanding seribu abid.)
lalu dia terus berjumpa rahib tersebut kemudian berkata: Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia. Adakah taubatku masih diterima? Rahib tersebut menjawab: Tidak. Mendengar jawapan tersebut dia terus membunuh pendeta tersebut dan genaplah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya.
(Apabila orang yang bukan ahli memberi fatwa, ia sesat lagi menyesatkan. Pembayan menyebut binasa dan membinasakan, iaitu yang memberi fatwa akhirnya dibunuh dan yang diberi fatwa akhirnya membunuh.)
Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim.Setelah ditunjukkan kepadanya seorang ulama, dia terus berjumpa ulama tersebut dan berkata : Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah taubatku masih diterima? Ulama tersebut menjawab : Ya! Siapakah yang boleh menghalang kamu dari bertaubat? Pergilah ke Negeri si polan kerana di sana ramai orang yang beribadat kepada Allah.Kamu beribadatlah kepada Allah s.w.t. bersama mereka dan jangan pulang ke negeri kamu kerana negeri kamu adalah negeri yang sangat hina.
(Apabila seorang alim ingin memberi fatwa, sangat penting dia mengetahui keseluruhan karkuzari/laporan keadaan yang melibatkan isu/permasalahan yang memerlukan fatwa. Dalam kisah ini, kita dapat tahu bahawa alim tersebut tahu akan latar belakang pembunuh tersebut, di mana dan bagaimana keadaaan kampung dia tinggal. Kesimpulan yang dibuat oleh alim tersebut ialah suasana kampung tersebut yang menghalang pembunuh tersebut daripada bertaubat. Oleh itu, sangat penting seorang alim mengetahui keseluruhan perkara yang berkaitan isu yang perlu dikeluarkan fatwa.)
Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan.Ketika berada di pertengahan jalan tiba-tiba dia mati,menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab bertelingkah mengenainya.Malaikat Rahmat berkata : Dia datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah s.w.t. Manakala Malaikat Azab pula berkata : Dia tidak pernah melakukan kebaikan.Lalu Malaikat yang lain datang dalam keadaan berupa manusia dan cuba menghakimi mereka sambil berkata : Ukurlah jarak di antara dua tempat.Mana yang lebih hampir,itulah tempatnya.Lantas mereka mengukurnya.Ternyata mereka dapati lelaki tersebut lebih hampir kepada negeri yang ditujunya.Akhirnya dia diambil oleh Malaikat Rahmat.