Showing posts with label akhirat. Show all posts
Showing posts with label akhirat. Show all posts

Sunday, April 5, 2015

Ekonomi Yang Bagus Dapat Selesaikan Masalah Dunia Islam?

Masalah orang Islam hari ini bukanlah kerana tiada harta (ekonomi). Kalau dihimpun semua harta2 orang Islam zaman ini dan digunakan atas satu maksud, nescaya akan cukup untuk menggegarkan dunia.
Tetapi tanpa bantuan Allah, harta bergunung pun tiada guna. Bantuan Allah hanya apabila kita hidup seperti Nabi SAW dan para salafussoleh seperti Sayyidina Umar RA dan para Sahabat yang lain. Bila kita cerita tentang para Sahabat, semua nak jadi macam Abdur Rahman bin Auf (yang kaya) dan tiada siapa peduli kisah Abu Hurairah (dan sahabat-sahabat lain yang miskin).
Kita anggap masalah Umat dapat diselesai jika dan hanya jika (if and only if) kita ada benda-benda dunia sehingga kita faham Quran pun dengan kaca mata dunia. Pernah jumpa risalah MLM guna ayat Surah Al-Asr "Demi Masa sesunggugnya manusia dalam kerugian..." kemudian menggunakan ayat itu untuk ajak orang join MLM. Dalam suatu program seorang imam guna ayat Surah Ali Imran "WasariAAoo ila maghfiratinmin rabbikum" dan berkata kita kena bersegera bersaing dalam ekonomi supaya orang Islam maju (sedangkan ayat itu suruh kita bersegera kepada maghfirah/keampunan Allah).
Menjadikan semua orang Islam kaya dan maju dalam ekonomi tidak menjamin masalah2 umat Islam diperbaiki. Kekayaan sama ada akan membawa keberkatan, ataupun kehancuran kepada umat Islam. Berapa ramai orang Islam yang kaya tetapi semakin jauh daripada Allah? Berapa ramai orang2 Islam yang kaya tetapi tidak pedulikan orang2 miskin? Yang kaya nak lagi kaya dan yang miskin tidak bersyukur dengan apa yang ada?


Saturday, September 27, 2014

Apa Maksud Hidup Kita

Ada orang kerja sebab nak duit...
Ada orang kerja sebab nak duit untuk beli rumah...

Ada orang kerja sebab nak popular...
Ada orang kerja sebab nak popular untuk dapat duit banyak...
Ada orang kerja sebab nak popular untuk dapat duit banyak dan beli benda-benda yang dia nak...

Ada orang kerja supaya dia dapat makan hari-hari....
Ada orang kerja supaya dia dapat makan hari-hari dan teruskan kehidupan....

Tapi apa sebenarnya maksud hidup kita?
Untuk apa kita hidup? Untuk duit? Buat apa dengan duit tu?
Atau kita nak duit untuk hidup?

Selagi kita tidak meletakkan sesuatu yang kekal abadi sebagai maksud hidup, hidup kita tidak akan tenang...
Sebab roh kita juga kekal abadi...jasad kita akan mati tapi roh kita akan terus hidup di alam seterusnya...

Apa yang kita akan bawa bila kita mati? Duit? Rumah? Kereta?
TIDAK! Semua itu tidak kekal abadi.
Hanya roh kita akan kekal abadi. Oleh itu, hanya akan bawa perkara-perkara yang kekal abadi...Jika kita tidak usahakan atas perkara yang kekal abadi, roh kita tidak akan tenang, jiwa kita tidak akan tenang, seperti jasad yang tidak dapat makan dan minum dan terasa amat letih.

Semua benda-benda material adalah fana' dan pasti akan musnah. Apa yang tinggal pada kita hanyalah iman (kualiti spiritual kita pada Allah) dan amal (perbuatan baik yang bertepatan dengan Sunnah kerana hanya ini sahajalah yang diterima oleh Allah). Hanya kedua-dua perkara ini yang kekal abadi...

Bila kita kerja...duit hanyalah keperluan dan bukan maksud hidup kita...
Tapi kita boleh kaitkan pekerjaan kita dengan maksud hidup.

Tak kita apa profession kita, tapi dalam kehidupan seharian kita dengan profession itu, kita dapat mejadi asbab kebaikan untuk orang/haiwan/alam sekeliling kita.

Doktor jadikan misi membantu pesakit sebagai maksud, dan gaji sebagai keperluan...
Jurutera menjadikan "bina infrastruktur bermanfaat" sebagai maksud, dan gaji sebagai keperluan...
Guru menjadikan "mendidik manusia" sebagai maksud, dan gaji sebagai keperluan...

DAN bagi seorang Muslim, semua maksud-maksud ini selari dengan maksud utama iaitu "kesempurnaan Deen dalam diri dan orang sekeliling."




Thursday, March 31, 2011

Blog ini adalah...


" لو كانت الدنيا تعدل عند الله جناح بعوضة ما سقى كافراً منها شربة ماء
"Sekiranya dunia ini ada nilai di sisi Allah menyamai sebelah kepak nyamuk , Dia pasti tidak memberi minuman kepada orang kafir walau seteguk air "
           
Blog ini adalah “kepak nyamuk” kerana asas penulisannya ialah berkenaan perkara-perkara dunia. Tetapi, perbincangannya tidak terhenti dalam perkara-perkara dunia kerana penulisnya adalah…

“Seorang musafir tua yang ingin menukarkan kepak nyamuk miliknya menjadi permata yang lebih bernilai daripada dunia...”

Bagaimana ingin menukar sebelah kepak nyamuk yang tiada harga menjadi permata yang nilainya melebihi dunia dan segala isinya? Kita bayangkan situasi-situasi berikut:

Situasi 1:         Ahmad sedang membina sebuah rumah yang akan didudukinya bersama keluarga. Pada rumah tersebut, dia membuat beberapa tingkap. Apabila ditanya kenapa dia membina tingkap pada rumahnya, dia jawab: Supaya udara dan angin masuk ke dalam rumah.

Situasi 2:         Ahmad sedang membina sebuah rumah yang akan didudukinya bersama keluarga. Pada rumah tersebut, dia membuat beberapa tingkap. Apabila ditanya kenapa dia membina tingkap pada rumahnya, dia jawab: Supaya suara azan dapat didengarinya dan ahli keluarganya, dan setelah mendengar azan, ahli keluarga lelaki dapat ke masjid solat berjemaah dan ahli keluarga perempuan dapat solat pada awal waktu.

Pada Situasi 1, apa yang akan diperolehi oleh Ahmad hanyalah udara dan angin yang masuk melalui tingkap rumahnya.

Walau bagaimanapun, pada situasi 2, Ahmad akan memperolehi pahala setiap kali tingkap yang dibina membantu keluarganya dalam amalan solat, dan juga angin dan udara yang masuk ke dalam rumahnya…

Apa perbezaannya? Niat; dan juga amalan yang lahir daripada niat tersebut.

Jika seorang doktor/jurutera/guru/peniaga melakukan tugasnya sebagai seorang doktor/jurutera/guru/peniaga untuk mendapatkan sedikit* wang bagi menampung kehidupannya dan keluarga, maka sekadar itulah yang dimilikinya.


Tetapi, jika melakukan tugas mereka supaya dia dapat membawa pesakitnya/orang-orang yang berurusan dengannya/ pelajar-pelajarnya/pelanggannya kepada mendekati Allah, maka mereka akan mendapat ganjaran Akhirat tanpa sedikit pun mengurangkan gaji mereka sebagai seorang doktor/jurutera/guru/peniaga.

Blog ini adalah “kepak nyamuk” kerana permulaan penulisannya ialah berkenaan perkara-perkara dunia. Tetapi, perbincangannya tidak terhenti dalam perkara-perkara dunia kerana niat penulisnya adalah supaya dirinya, dan sesiapa sahaja yang membaca penulisannya akan berusaha mendekati Dia Yang Maha Esa…






*Berapa banyak pun harta dunia ini tetap kuantitinya sedikit berbanding kesenangan Akhirat.