Showing posts with label ikhlas. Show all posts
Showing posts with label ikhlas. Show all posts

Thursday, July 21, 2011

Motif/Niat


Immanuel Kant (22 April 1724 – 12 February 1804) menerangkan bahawa kehendak yang baik (good will) ditentukan berdasarkan peraturan (maxim) yang universal dan motif kehendak tersebut. Sebagai contoh:
  1. Seseorang menyelamatkan perempuan tua kerana tindakan tersebut akan menguntungkannya. Motifnya ialah untuk mendapatkan ganjaran dari perempuan tua tersebut. Kesimpulan Kant = Tidak Bermoral.
  2. Seseorang menyelematkan perempuan tua kerana tindakan tersebut akan menyebabkannya berasa gembira. Motifnya ialah untuk memenuhi keinginannya untuk menyelamatkan orang. Kesimpulan Kant = Tidak Bermoral.
  3. Seseorang menyelematkan perempuan tua kerana tindakannya itu dapat mengelakkan kecederaan orang lain. Motifnya ialah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh manusai berakal. Kesimpulan Kant = Bermoral.

Menurut Kant, situasi 1 dan 2 tidak universal kerana bergantung kepada akibat sesuatu tindakan, iaitu apa yang menggembirakan hati dan apa yang menguntungkan. Sekiranya moral berdasarkan keuntungan (situasi 1) maka perbuatan jahat yang menguntungkan juga akan dikira bermoral. Sekiranya moral untuk menggembirakan hati (situasi 2) maka perbuatan jahat yang menggembirakan hati juga dikira bermoral.

Hanya situasi 3 yang bermoral menurut Kant, kerana ia tidak tertakluk kepada apa-apa akibat tetapi semata-mata bergantung kepada apa yang sepatutnya dilakukan berdasarkan akal yang sihat, dan ianya adalah universal kerana akal yang sihat pasti mengatakan perbuatan jahat itu tidak bermoral.

Dari Perspektif Islam

Oleh kerana kehendak (will) yang perlu kita tunaikan hanyalah kehendak Allah S.W.T. dan kehendak kita perlu bertepatan dengan kehendak Allah S.W.T., maka setiap perlakuan kita juga perlu kepada niat semata-semata hanya kerana Allah S.W.T. atau hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Kant meganggap situasi 1 tidak bermoral kerana perlakuan tersebut bermotifkan ganjaran.....

Ya, benar, sebagai seorang Muslim, kita perlu ikhlas dan tidak boleh mengharapkan sebarang ganjaran atau balasan apabila kita melakukan sesuatu kebaikan. Sehingga ada Muslim yang terpengaruh dengan pandangan seperti Kant dan berpendapat bahawa Muslim yang sebenar tidak boleh mengharapkan syurga dan pahala dalam beramal.

Walau bagaimanapun, apabila seorang hamba ditawarkan hadiah oleh Raja segala raja, Yang Mencipta langit dan bumi, dan Yang Memberi rezeki, tetapi ditolak oleh hamba tersebut, maka hamba tersebut telah berlaku sombong terhadap Raja segala raja.

Banyak ayat Al-Quran dan hadith-hadith yang menerangkan tentang ganjaran-ganjaran dan janji-janji Allah S.W.T kepada orang-orang beriman. Dan yakin dengan janji-janji Allah S.W.T. itulah dinamakn ihtisab.

Barang siapa yang berpuasa atas dasar iman dan ihtisab, maka dia diampuni dosa-dosa yang telah lalu[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Kant menganggap situasi 2 juga tidak bermoral kerana perlakuan tersebut bermotifkan untuk menggembirakan hati…..

Ya, benar, sebagai seorang Muslim, kita perlu ikhlas dan tidak boleh hanya melalukan sesuatu semata-mata untuk menggembirakan hati kita.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang hamba yang sebenar, kegembiraan hati hanyalah dalam mentaati Tuannya. Apabila kita gembira setelah melakukan kebaikan, maka itu adalah tanda iman.

Sesiapa yang bergembira di atas kebaikannya dan bersediah di atas kejahatannya, maka dia adalah seorang mukmin” [HR. Tabrani]

Kant menganggap hanya situasi 3 yang bermoral kerana tidak mengharapkan sebarang balasan dan ia semata-mata berdasarkan akal yang sihat…..

Ya, benar, sebagai seorang Muslim, kita perlu menggunakan akal dan berfikir sebelum melakukan sebarang tindakan.

Walau bagimanapun, akal adalah terhad untuk memahami hikmah-hikmah disebalik perintah-perintah Allah S.W.T. Akal boleh menjustifikasikan perbuatan meminum arak adalah tidak salah selagi tidak mengabaikan tanggungjawab dan tidak menganggu orang lain; akal juga boleh menghalalkan zina selagi pasangan adalah suka sama suka dan boleh menggunakan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan. Hanya berpandukan akal semata-mata, masyarakat Islam akan rosak sebagaimana masyarakat Barat kini telah rosak.


Wednesday, March 23, 2011

Setiap Amal Bermula Dengan Niat


Diriwayatkan daripada 'Umar bin Khattab r.a. berkata : Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W.  bersabda: " Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperolehi apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan ia memperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dihijrahkan kepadanya. "
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Berdasarkan hadith di atas, "ikhlas" adalah perkara yang penting dalam setiap amalan. Apa yang dimaksudkan dengan "Ikhlas" ?

Ikhlas ialah melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu semata-mata kerana Allah. Ada orang melihat atau tiada orang melihat, kita tetap melakukan amalan tersebut.

Ikhlas ini adalah rahsia Allah. Tiada siapa boleh menentukan seseorang itu ikhlas atau tidak dalam amalannya. Kadang-kadang, individu yang sedang beramal itupun tidak tahu sama ada dia ikhlas atau tidak.

Ada juga yang berpendapat sehingga Malaikat pun tidak tahu amalan individu tertentu ikhlas atau tidak; Malaikat hanya bertugas membawa amalan tersebut kepada Allah dan hanya Dia yang Maha Mengetahui sama ada amalan tersebut ikhlas atau tidak.

Namun begitu, seseorang yang ikhlas akan istaqamah dalam amalannya. Sama ada dilihat orang atau tidak, dia tetap istiqamah dengan amalannya. Kerana amal tersebut bukan untuk manusia, tetapi semata-mata untuk Pencipta.

Maka, perkaitannya dengan entry pertama blog ini ialah untuk menegaskan bahawa sekiranya blog ini ditulis dengan ikhlas, ialah bukanlah bertujuan untuk menarik manusia membacanya, menyukainya atau membencinya...

Tapi semata-mata untuk kendapat keredhaan Allah...

Dan sekiranya blog ini benar-benar ikhlas...ia akan istaqamah.