Monday, May 2, 2011

Sebab Perceraian



Situasi 1: Suami bekerja dan isteri menjadi suri rumah sepenuh masa. Kebanyakan masa isteri di siang hari dihabiskan dengan menjaga dan mendidik anak-anak, mengemas rumah dan memasak. Disebabkan rumah yang sederhana besar, isteri dapat menyelesaikan tugas mengemas rumah dalam waktu yang singkat. Sebahagian masa di siang hari juga digunakan untuk isteri berehat. Selepas suami letih melepaskan keringat mencari rezeki, isteri menyambut kepulangan suami dengan senyuman dan menyediakan makanan dan minuman. Sesekali, apabila suami berkeinginan untuk bersama isteri, isteri tidak pernah menolaknya.

Situasi 2: Kedua-dua suami dan isteri bekerja untuk mencari wang lebih bagi menampung bayaran bulanan rumah. Rumah yang besar menyebabkan mustahil bagi mereka mengemas dan memasak selepas pulang dari tempat kerja. Mereka tiada pilihan dan terpaksa mengambil orang gaji untuk menyelesaikan tugas-tugas seperti mengemas rumah dan memasak. Didikan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Apabila suami berkeinginan untuk bersama isteri, isteri menolak kerana keletihan.

Situasi 3: Suami bekerja dan isteri menjadi suri rumah sepenuh masa. Kebanyakan masa isteri di siang hari dihabiskan dengan berbelanja dan berhibur dan tidur. Didikan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Selepas suami letih melepaskan keringat mencari rezeki, tiada senyuman dan minuman yang menanti, hanya rumah yang berselerak dan mee segera terhidang. Apabila suami berkeinginan untuk bersama isteri, isteri menolak kerana keletihan berhibur di siang hari.

Situasi 4: Suami menganggur dan bergantung harap kepada isteri. Isteri mencari rezeki di luar rumah dan tiada masa mengemas rumah dan memasak. Didikan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Kebanyakan masa suami di rumah dihabiskan seperti kehidupannya di zaman bujang, rumah tidak terurus dan hanya memasak mee segera. Apabila suami berkeinginan untuk bersama isteri, isteri menolak kerana keletihan bekerja di siang hari.


 

Apabila kita analisa situasi-situasi di atas, walaupun ianya adalah rekaan tetapi kita tidak dapat menolak bahawa situasi-situasi tersebut wujud secara realiti. Punca perceraian ialah apabila suami/isteri merasakan yang dia tidak memerlukan pasangannya lagi. Wanita perlu bergantung kepada suami; begitu juga sebaliknya suami juga perlu merasakan yang dia amat memerlukan isterinya.

Apabila suami merasakan dia letih bekerja, tetapi tiada apa yang dia dapat dari isteri melainkan menambahkan keletihannya, maka di saat itu dia merasakan yang dia tidak lagi memerlukan isterinya. Apabila isteri merasakan yang dia mampu menjaga dirinya sendiri, tidak perlu kepada pendapatan suaminya atau suaminya hanya menambahkan beban dalam kehidupannya, maka di saat itu dia merasakan yuang dia tidak lagi memerlukan suaminya. Maka, berlakulah perceraian.

Penyelesaian kepada masalah ini bukanlah dengan mencari-cari kesalahan pasangan kita, tetapi cara terbaik ialah setiap pasangan mencari-cari kesilapan diri, meng-islah diri masing-masing. Jika hanya salah seorang sahaja dari pasangan yang meng-islah diri, dan yang seorang lagi tiada langsung proses meng-islah diri, maka pasangan yang meng-islah diri itu akan tertekan...kerana hanya dia seorang sahaja yang berusaha memperbaiki tanggungjawabnya sebagai suami/isteri dan tiada penambahbaikan dalam kehidupan rumah tangga.

Soalan-soalan yang perlu kita tanya pada DIRI SENDIRI ialah "Adakah saya telah tunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang suami/isteri hari ini?" atau "Apa lagi tugas saya sebagai seorang suami/isteri yang belum selesai?" Jika setiap dari pasangan berfikiran seperti ini, insyaAllah rumah tangga akan bahagia.

Fikiran yang perlu dielak ialah "Suami/Isteri saya masih lagi tak buat ini dan itu..." kerana fikiran sebegini hanya menyumbang kepada keretakan rumah tangga.

1 comment: