Saturday, September 27, 2014

Apa Maksud Hidup Kita

Ada orang kerja sebab nak duit...
Ada orang kerja sebab nak duit untuk beli rumah...

Ada orang kerja sebab nak popular...
Ada orang kerja sebab nak popular untuk dapat duit banyak...
Ada orang kerja sebab nak popular untuk dapat duit banyak dan beli benda-benda yang dia nak...

Ada orang kerja supaya dia dapat makan hari-hari....
Ada orang kerja supaya dia dapat makan hari-hari dan teruskan kehidupan....

Tapi apa sebenarnya maksud hidup kita?
Untuk apa kita hidup? Untuk duit? Buat apa dengan duit tu?
Atau kita nak duit untuk hidup?

Selagi kita tidak meletakkan sesuatu yang kekal abadi sebagai maksud hidup, hidup kita tidak akan tenang...
Sebab roh kita juga kekal abadi...jasad kita akan mati tapi roh kita akan terus hidup di alam seterusnya...

Apa yang kita akan bawa bila kita mati? Duit? Rumah? Kereta?
TIDAK! Semua itu tidak kekal abadi.
Hanya roh kita akan kekal abadi. Oleh itu, hanya akan bawa perkara-perkara yang kekal abadi...Jika kita tidak usahakan atas perkara yang kekal abadi, roh kita tidak akan tenang, jiwa kita tidak akan tenang, seperti jasad yang tidak dapat makan dan minum dan terasa amat letih.

Semua benda-benda material adalah fana' dan pasti akan musnah. Apa yang tinggal pada kita hanyalah iman (kualiti spiritual kita pada Allah) dan amal (perbuatan baik yang bertepatan dengan Sunnah kerana hanya ini sahajalah yang diterima oleh Allah). Hanya kedua-dua perkara ini yang kekal abadi...

Bila kita kerja...duit hanyalah keperluan dan bukan maksud hidup kita...
Tapi kita boleh kaitkan pekerjaan kita dengan maksud hidup.

Tak kita apa profession kita, tapi dalam kehidupan seharian kita dengan profession itu, kita dapat mejadi asbab kebaikan untuk orang/haiwan/alam sekeliling kita.

Doktor jadikan misi membantu pesakit sebagai maksud, dan gaji sebagai keperluan...
Jurutera menjadikan "bina infrastruktur bermanfaat" sebagai maksud, dan gaji sebagai keperluan...
Guru menjadikan "mendidik manusia" sebagai maksud, dan gaji sebagai keperluan...

DAN bagi seorang Muslim, semua maksud-maksud ini selari dengan maksud utama iaitu "kesempurnaan Deen dalam diri dan orang sekeliling."




Sunday, March 2, 2014

Realiti

Apabila kita menonton filem, drama, atau bermain permainan video, kita akan memiliki bermacam-macam perasaan. Kadang-kadang kita tertawa melihat telatah pelakon komedi, kemudian kita menangis menonton drama. Kadang-kadang kita sakit hati/marah...

Tapi semua itu adalah fantasi. Bukan Realiti.

Berapa banyak tenaga dan emosi digunakan untuk perkara khayalan.
Bukanlah kita ingin menolak 100% kegiatan menonton TV/bermain permainan video, tapi kita perlu melakarkan satu garisan pada tahap mana kegiatan-kegiatan tersebut berada di tahap yang melalaikan dan tidak bermanfaat, malah mungkin boleh memudaratkan kehidupan kita.

Ada yang berpendapat, tak salah meluangkan masa lapang untuk kegiatan-kegiatan tersebut, asalkan kita telah tunaikan tanggungjawab kita. Itu bukan kemudaratan yang aku maksudkan di sini. Kemudaratan yang aku maksudkan lebih berbahaya.

Bila kita habiskan masa dua jam menonton filem/drama/main permainan video, walaupun aktiviti itu telah tamat, ia meninggalkan kesan dalam hati dan fikiran kita. Cuba pejamkan mata selepas tonton filem/drama/main permainan video...apa yg kita nampak ialah perkara-perkara dari filem/drama/permainan video tadi. Ia tetap dalam hati dan fikiran kita. Sehingga dalam solat pun kita boleh nampak perkara-perkara tersebut!

Salah satu teori falsafah Greek ialah Plato's Cave di mana sesetangah manusia adalah umpama banduan yang diikat di dalam gua. Apa yang dapat dilihat oleh banduan-banduan ini hanyalah bayang-bayang objek, dan bukan objek sebenar. Jika salah satu dari banduan ini terlepas dan berjaya keluar dari gua tersebut, dia akan dapat melihat dunia sebenar.



Begitulah keadaan kita jika kita memahami dunia ini hanya melalui "bayang-bayang" dan tidak keluar dari "gua" kita. Banyak masa dihabiskan dengan pop-culture dan kita hanya memahami dunia melalui kaca mata pop-culture. Apabila seorang suri rumah banyak menonton drama kisah suami curang, dia pun akan mula syak wasangka yang suami dia juga curang. Apabila remaja banyak menonton kisah cinta yang kononnya suci dan berakhir dengan kebahagiaan, dia pun rasa yang kisah cinta dia juga suci dan akan berakhir dengan kebahagiaan. Betapa filem dan drama dapat mempengaruhi emosi dan pemikiran kita.
Dalam filem The Hunger Games yang diadaptasi daripada novel popular karya Suzanne Collins, Panem ialah sebuah Negara yang diperintah oleh seorang dictator, President Snow. Katniss Everdeen sebagai watak utama filem tersebut telah menggunakan kaedah passive-aggressive dan akhirnya telah menjadi sumber inspirasi untuk golongan tertindas memberontak. Antara symbol yang digunakan pemberontak ialah salute tiga jari yang walaupun kelihatan passive tetapi menunjukkan kesatuan antara golongan pemberontak. Apa yang menarik bagi saya ialah bagaimana filem Barat ini secara direct telah mempengaruhi protes jalanan di Bangkok pada tahun 2014. Dan kalau kita perasan, warga Mesir yang memberontak dan memprotes kekejaman Jeneral Sisi dan coup tentera juga menggunakan symbol yang hampir sama, iaitu salute empat jari yang diberi nama sebagai symbol “R4bia.” Betapa fantasi daripada filem, drama, dan pop-culture berupaya mempengaruhi emosi dan pemikiran kita.

Nasihat dari Imam Ghazali (RAH), hati kita umpama sebuah tasik di mana empat sungai yang mengalir ke dalam tasik tersebut. Empat sungai tersebut ialah fikiran, penglihatan,  pendengaran, dan percakapan. Bila kita banyak fikir, lihat, dengar dan cakap tentang perkara-perkara bathil, maka perkara-perkara bathil lah yang akan masuk ke dalam hati kita. Bila kita banyak fikir, lihat, dengar dan cakap tentang perkara-perkara haqq, maka perkara-perkara haqq lah yang akan masuk ke dalam hati kita. Apabila bathil telah masuk dalam hati, maka susah untuk kita memahami perkara-perkara yang haqq.

Bak kata Derry Sulaiman...hati-hati dengan hati.

Sunday, May 26, 2013

Consciousness



"Consciousness is always consciousness of something..." (Husserl)

Cuba kosongkan fikiran...jangan fikir apa-apa. Macam mana kita cuba pun kita tetap tak boleh berhenti berfikir. Mesti kita akan fikir sesuatu walaupun ianya ruang kosong berwarna putih, ia tetap sesuatu benda.

Jadi kita memang tak boleh kosongkan fikiran, tapi kita boleh alihkan fikiran kepada perkara yang bermanfaat. Orang yang lalai bukan dia tak berfikir, tapi dia fikir benda yang lalai.

Dalam solat bukan seperti orang yg meditasi yg cuba kosongkan fikiran. Tapi orang yang bersolah mesti usaha untuk alihkan fikiran dan tumpuan hanya kepada Allah. Sekurang-kurangnya fikirkan yg kita sedang dilihat Allah.

Saturday, March 31, 2012

Adakah kita sama?

“Consciousness implies some awareness of self as a separate subject from what we perceive. However, it is difficult sometimes for us to recognize that others also have consciousness.” [Discussion on Hegel]

Kadang-kadang kita lupa yang orang lain juga ada consciousness dia sendiri, dan kita cenderung untuk judge kehidupan orang berdasarkan kehidupan kita.

Walaupun secara jasad  biologi kita sama, tapi kita sebagai manusia bukanlah sekadar organism yang merembeskan enzim dan hormon semata-mata. Consciousness kita tak sama. Roh kita tak sama.

Cara kita belajar tak sama. Ada yang suka mentelaah di library, ada yang prefer di rumah sebab di library dia ada masalah attention span. Ada yang lebih suka study bawah pokok, atau masjid…setiap orang tak sama.

Perkembangan setiap orang pun tak sama. Ada yang lambat faham, ada yang cepat faham. Boleh jadi juga yang lambat faham tu kuat ingatan dan yang cepat faham tu cepat juga lupa…setiap orang tak sama.

Minat belajar juga tak sama. Ada yang berminat belajar pure science; suka mengkaji haiwan dan tumbuhan, bacteria dan kuman. Ada juga yang lebih suka social science; mengkaji manusia, sikap dan tindakan…setiap orang tak sama.

Masalah akan timbul apabila kita mula judge orang lain berdasarkan kehidupan kita, apabila kita gagal memahami yang orang lain juga ada consciousness mereka sendiri. Kita nak orang study cara kita study, kita nak orang cepat faham macam mana kita cepat faham, kita nak orang menghargai bidang kita tanpa kita menghargai bidang mereka. Adakah semua orang sama?

Apabila jika kita jadi penyelia graduate students, kita judge student kita berdasarkan apa yang kita alami masa kita buat PhD dulu. Kalau dulu masa buat PhD kita dimarah 16 kali dan menangis, kita tak akan luluskan student selagi dia tak dimarah 16 kali dan menangis. Kalau dulu masa buat PhD kita santai-santai dan dapat selesai dalam masa yang ditetapkan, kita nak student kita santai-santai dan selesai PhD dalam masa yang sama. Mungkin apa yang kita alami masa belajar dulu mambantu perkembangan kita, tapi adakah setiap orang sama?

Apabila kita mengajar di sekolah atau di dewan kuliah, kita nak semua faham pengajaran kita dengan cara yang sama kita faham; atau apabila ada beberapa orang yang mula faham, kita rasa yang masih tak faham tu adalah bodoh dan tak ada harapan. Adakah semua orang sama?

Ini tak bermaksud kita perlu sombong dan tidak menerima pandangan atau nasihat orang lain. Nabi S.A.W. tetap mendengar dan mengikut nasihat Nabi Musa A.S. ketika peristiwa Mi'raj. Mendengar dan mempertimbangkan nasihat dan pandangan orang yang lebih berpengalaman sangat penting. Ini adalah common sense.

Adakah semua orang sama? Tidak. Tapi ada satu perkara yang sama dalam setiap orang: Semua orang perlu berusaha untuk kehidupan yang baik di dunia dan akhirat. Setiap kita ada tanggungjawab di dunia dan hasilnya ialah kehidupan di akhirat. Kehidupan yang baik di dunia ialah apabila kita menunaikan tanggungjawab kita di dunia; tanggungjawab sebagai hamba, bapa, ibu, pengajar, pelajar, pemerintah, rakyat dll. Sejauh mana kita menunaikan tanggungjawab kita di dunia, sebaik itulah kehidupan akhirat kita.

Janganlah kita menilai manusia sembarangan,
Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan,
Apabila roh berpisah dari badan,
Ketika itulah Tuhan menilai setiap insan.

Walaupun dari segi luaran adalah sama, tapi setiap orang masih tak sama.

Thursday, July 21, 2011

Motif/Niat


Immanuel Kant (22 April 1724 – 12 February 1804) menerangkan bahawa kehendak yang baik (good will) ditentukan berdasarkan peraturan (maxim) yang universal dan motif kehendak tersebut. Sebagai contoh:
  1. Seseorang menyelamatkan perempuan tua kerana tindakan tersebut akan menguntungkannya. Motifnya ialah untuk mendapatkan ganjaran dari perempuan tua tersebut. Kesimpulan Kant = Tidak Bermoral.
  2. Seseorang menyelematkan perempuan tua kerana tindakan tersebut akan menyebabkannya berasa gembira. Motifnya ialah untuk memenuhi keinginannya untuk menyelamatkan orang. Kesimpulan Kant = Tidak Bermoral.
  3. Seseorang menyelematkan perempuan tua kerana tindakannya itu dapat mengelakkan kecederaan orang lain. Motifnya ialah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh manusai berakal. Kesimpulan Kant = Bermoral.

Menurut Kant, situasi 1 dan 2 tidak universal kerana bergantung kepada akibat sesuatu tindakan, iaitu apa yang menggembirakan hati dan apa yang menguntungkan. Sekiranya moral berdasarkan keuntungan (situasi 1) maka perbuatan jahat yang menguntungkan juga akan dikira bermoral. Sekiranya moral untuk menggembirakan hati (situasi 2) maka perbuatan jahat yang menggembirakan hati juga dikira bermoral.

Hanya situasi 3 yang bermoral menurut Kant, kerana ia tidak tertakluk kepada apa-apa akibat tetapi semata-mata bergantung kepada apa yang sepatutnya dilakukan berdasarkan akal yang sihat, dan ianya adalah universal kerana akal yang sihat pasti mengatakan perbuatan jahat itu tidak bermoral.

Dari Perspektif Islam

Oleh kerana kehendak (will) yang perlu kita tunaikan hanyalah kehendak Allah S.W.T. dan kehendak kita perlu bertepatan dengan kehendak Allah S.W.T., maka setiap perlakuan kita juga perlu kepada niat semata-semata hanya kerana Allah S.W.T. atau hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Kant meganggap situasi 1 tidak bermoral kerana perlakuan tersebut bermotifkan ganjaran.....

Ya, benar, sebagai seorang Muslim, kita perlu ikhlas dan tidak boleh mengharapkan sebarang ganjaran atau balasan apabila kita melakukan sesuatu kebaikan. Sehingga ada Muslim yang terpengaruh dengan pandangan seperti Kant dan berpendapat bahawa Muslim yang sebenar tidak boleh mengharapkan syurga dan pahala dalam beramal.

Walau bagaimanapun, apabila seorang hamba ditawarkan hadiah oleh Raja segala raja, Yang Mencipta langit dan bumi, dan Yang Memberi rezeki, tetapi ditolak oleh hamba tersebut, maka hamba tersebut telah berlaku sombong terhadap Raja segala raja.

Banyak ayat Al-Quran dan hadith-hadith yang menerangkan tentang ganjaran-ganjaran dan janji-janji Allah S.W.T kepada orang-orang beriman. Dan yakin dengan janji-janji Allah S.W.T. itulah dinamakn ihtisab.

Barang siapa yang berpuasa atas dasar iman dan ihtisab, maka dia diampuni dosa-dosa yang telah lalu[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Kant menganggap situasi 2 juga tidak bermoral kerana perlakuan tersebut bermotifkan untuk menggembirakan hati…..

Ya, benar, sebagai seorang Muslim, kita perlu ikhlas dan tidak boleh hanya melalukan sesuatu semata-mata untuk menggembirakan hati kita.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang hamba yang sebenar, kegembiraan hati hanyalah dalam mentaati Tuannya. Apabila kita gembira setelah melakukan kebaikan, maka itu adalah tanda iman.

Sesiapa yang bergembira di atas kebaikannya dan bersediah di atas kejahatannya, maka dia adalah seorang mukmin” [HR. Tabrani]

Kant menganggap hanya situasi 3 yang bermoral kerana tidak mengharapkan sebarang balasan dan ia semata-mata berdasarkan akal yang sihat…..

Ya, benar, sebagai seorang Muslim, kita perlu menggunakan akal dan berfikir sebelum melakukan sebarang tindakan.

Walau bagimanapun, akal adalah terhad untuk memahami hikmah-hikmah disebalik perintah-perintah Allah S.W.T. Akal boleh menjustifikasikan perbuatan meminum arak adalah tidak salah selagi tidak mengabaikan tanggungjawab dan tidak menganggu orang lain; akal juga boleh menghalalkan zina selagi pasangan adalah suka sama suka dan boleh menggunakan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan. Hanya berpandukan akal semata-mata, masyarakat Islam akan rosak sebagaimana masyarakat Barat kini telah rosak.


Monday, May 2, 2011

Sebab Perceraian



Situasi 1: Suami bekerja dan isteri menjadi suri rumah sepenuh masa. Kebanyakan masa isteri di siang hari dihabiskan dengan menjaga dan mendidik anak-anak, mengemas rumah dan memasak. Disebabkan rumah yang sederhana besar, isteri dapat menyelesaikan tugas mengemas rumah dalam waktu yang singkat. Sebahagian masa di siang hari juga digunakan untuk isteri berehat. Selepas suami letih melepaskan keringat mencari rezeki, isteri menyambut kepulangan suami dengan senyuman dan menyediakan makanan dan minuman. Sesekali, apabila suami berkeinginan untuk bersama isteri, isteri tidak pernah menolaknya.

Situasi 2: Kedua-dua suami dan isteri bekerja untuk mencari wang lebih bagi menampung bayaran bulanan rumah. Rumah yang besar menyebabkan mustahil bagi mereka mengemas dan memasak selepas pulang dari tempat kerja. Mereka tiada pilihan dan terpaksa mengambil orang gaji untuk menyelesaikan tugas-tugas seperti mengemas rumah dan memasak. Didikan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Apabila suami berkeinginan untuk bersama isteri, isteri menolak kerana keletihan.

Situasi 3: Suami bekerja dan isteri menjadi suri rumah sepenuh masa. Kebanyakan masa isteri di siang hari dihabiskan dengan berbelanja dan berhibur dan tidur. Didikan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Selepas suami letih melepaskan keringat mencari rezeki, tiada senyuman dan minuman yang menanti, hanya rumah yang berselerak dan mee segera terhidang. Apabila suami berkeinginan untuk bersama isteri, isteri menolak kerana keletihan berhibur di siang hari.

Situasi 4: Suami menganggur dan bergantung harap kepada isteri. Isteri mencari rezeki di luar rumah dan tiada masa mengemas rumah dan memasak. Didikan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Kebanyakan masa suami di rumah dihabiskan seperti kehidupannya di zaman bujang, rumah tidak terurus dan hanya memasak mee segera. Apabila suami berkeinginan untuk bersama isteri, isteri menolak kerana keletihan bekerja di siang hari.


 

Apabila kita analisa situasi-situasi di atas, walaupun ianya adalah rekaan tetapi kita tidak dapat menolak bahawa situasi-situasi tersebut wujud secara realiti. Punca perceraian ialah apabila suami/isteri merasakan yang dia tidak memerlukan pasangannya lagi. Wanita perlu bergantung kepada suami; begitu juga sebaliknya suami juga perlu merasakan yang dia amat memerlukan isterinya.

Apabila suami merasakan dia letih bekerja, tetapi tiada apa yang dia dapat dari isteri melainkan menambahkan keletihannya, maka di saat itu dia merasakan yang dia tidak lagi memerlukan isterinya. Apabila isteri merasakan yang dia mampu menjaga dirinya sendiri, tidak perlu kepada pendapatan suaminya atau suaminya hanya menambahkan beban dalam kehidupannya, maka di saat itu dia merasakan yuang dia tidak lagi memerlukan suaminya. Maka, berlakulah perceraian.

Penyelesaian kepada masalah ini bukanlah dengan mencari-cari kesalahan pasangan kita, tetapi cara terbaik ialah setiap pasangan mencari-cari kesilapan diri, meng-islah diri masing-masing. Jika hanya salah seorang sahaja dari pasangan yang meng-islah diri, dan yang seorang lagi tiada langsung proses meng-islah diri, maka pasangan yang meng-islah diri itu akan tertekan...kerana hanya dia seorang sahaja yang berusaha memperbaiki tanggungjawabnya sebagai suami/isteri dan tiada penambahbaikan dalam kehidupan rumah tangga.

Soalan-soalan yang perlu kita tanya pada DIRI SENDIRI ialah "Adakah saya telah tunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang suami/isteri hari ini?" atau "Apa lagi tugas saya sebagai seorang suami/isteri yang belum selesai?" Jika setiap dari pasangan berfikiran seperti ini, insyaAllah rumah tangga akan bahagia.

Fikiran yang perlu dielak ialah "Suami/Isteri saya masih lagi tak buat ini dan itu..." kerana fikiran sebegini hanya menyumbang kepada keretakan rumah tangga.

Sunday, May 1, 2011

Kehendak (Will)



Immanuel Kant (22 April 1724 – 12 February 1804) menerangkan bahawa sesuatu perbuatan itu diklasifikasikan sebagai bermoral atau tidak, bergantung kepada kehendak pelaku tersebut (the will of the actor) dan bukan akibat daripada tindakannya itu. Sebagai contoh:

  1. Seorang peragut ingin meragut beg tangan seorang perempuan tua, tetapi disebabkan tindakannya meragut menyebabkan perempuan tua itu terselamat dari dilanggar lori. Kesimpulan Kant = Tidak Bermoral.
  2. Seorang lelaki bertindak menarik seorang perempuan tua untuk menyelamatkannya dari dilanggar lori menyebabkan perepmpuan tua tersebut diserang sakit jantung lalu meninggal. Kesimpulan Kant = Bermoral.

Kids helping a dog. (Photo from: emails4all.blogspot.com)
 
Dari Perspektif Islam

Diriwayatkan daripada 'Umar bin Khattab r.a. berkata, aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W.  bersabda: "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperolehi apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan ia memperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dihijrahkan kepadanya." [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Hadith ini mungkin selari dengan pandangan Kant, tetapi terdapat perbezaan yang sangat besar iaitu antara niat dan kehendak (will). Kehendak adalah kemahuan diri kita sendiri. Ia juga berbeza dengan keinginan (desire) yang lebih dipengaruhi oleh aspek emosi.


Sebagai Muslim, hanya kehendak Allah S.W.T. sahaja yang perlu kita tunaikan. Ini tidak bermaksud kita tidak boleh memiliki kehendak sendiri, tapi kehendak kita perlu selari dengan kehendak Allah S.W.T. Atau, sekurang-kurangnya kita perlu berusaha supaya kehendak kita selari dengan kehendak Allah S.W.T.



Seorang Muslim sepatutnya menolak pandangan Kant yang menjadikan kehendak pelaku sebagai penentu sesuatu perlakuan sama ada bermoral atau tidak. Ini kerana sebagai seorang Muslim (orang yang berserah) telah menyerahkan dirinya kepada Allah S.W.T. dan kehendaknya harus bertepatan dengan kehendak Allah S.W.T. dan Allah S.W.T. sebagai Rabb Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Adil pasti tidak sekali-kali akan menghendaki kita berbuat kezaliman.