Thursday, March 31, 2011

Blog ini adalah...


" لو كانت الدنيا تعدل عند الله جناح بعوضة ما سقى كافراً منها شربة ماء
"Sekiranya dunia ini ada nilai di sisi Allah menyamai sebelah kepak nyamuk , Dia pasti tidak memberi minuman kepada orang kafir walau seteguk air "
           
Blog ini adalah “kepak nyamuk” kerana asas penulisannya ialah berkenaan perkara-perkara dunia. Tetapi, perbincangannya tidak terhenti dalam perkara-perkara dunia kerana penulisnya adalah…

“Seorang musafir tua yang ingin menukarkan kepak nyamuk miliknya menjadi permata yang lebih bernilai daripada dunia...”

Bagaimana ingin menukar sebelah kepak nyamuk yang tiada harga menjadi permata yang nilainya melebihi dunia dan segala isinya? Kita bayangkan situasi-situasi berikut:

Situasi 1:         Ahmad sedang membina sebuah rumah yang akan didudukinya bersama keluarga. Pada rumah tersebut, dia membuat beberapa tingkap. Apabila ditanya kenapa dia membina tingkap pada rumahnya, dia jawab: Supaya udara dan angin masuk ke dalam rumah.

Situasi 2:         Ahmad sedang membina sebuah rumah yang akan didudukinya bersama keluarga. Pada rumah tersebut, dia membuat beberapa tingkap. Apabila ditanya kenapa dia membina tingkap pada rumahnya, dia jawab: Supaya suara azan dapat didengarinya dan ahli keluarganya, dan setelah mendengar azan, ahli keluarga lelaki dapat ke masjid solat berjemaah dan ahli keluarga perempuan dapat solat pada awal waktu.

Pada Situasi 1, apa yang akan diperolehi oleh Ahmad hanyalah udara dan angin yang masuk melalui tingkap rumahnya.

Walau bagaimanapun, pada situasi 2, Ahmad akan memperolehi pahala setiap kali tingkap yang dibina membantu keluarganya dalam amalan solat, dan juga angin dan udara yang masuk ke dalam rumahnya…

Apa perbezaannya? Niat; dan juga amalan yang lahir daripada niat tersebut.

Jika seorang doktor/jurutera/guru/peniaga melakukan tugasnya sebagai seorang doktor/jurutera/guru/peniaga untuk mendapatkan sedikit* wang bagi menampung kehidupannya dan keluarga, maka sekadar itulah yang dimilikinya.


Tetapi, jika melakukan tugas mereka supaya dia dapat membawa pesakitnya/orang-orang yang berurusan dengannya/ pelajar-pelajarnya/pelanggannya kepada mendekati Allah, maka mereka akan mendapat ganjaran Akhirat tanpa sedikit pun mengurangkan gaji mereka sebagai seorang doktor/jurutera/guru/peniaga.

Blog ini adalah “kepak nyamuk” kerana permulaan penulisannya ialah berkenaan perkara-perkara dunia. Tetapi, perbincangannya tidak terhenti dalam perkara-perkara dunia kerana niat penulisnya adalah supaya dirinya, dan sesiapa sahaja yang membaca penulisannya akan berusaha mendekati Dia Yang Maha Esa…






*Berapa banyak pun harta dunia ini tetap kuantitinya sedikit berbanding kesenangan Akhirat.

4 comments:

  1. Waa...itu kisahnye kepak nyamuk ek. best2. best lagi kalo menjadi Ahmad no. 2 :)

    ReplyDelete
  2. sohih2...doakan pakcik...ujian melanda

    ReplyDelete
  3. Org belum kahwin diuji...
    Org dah kahwin pun diuji...

    Org tak ada anak diuji...
    Org ada anak pun diuji...

    Kata ssorg dari Miri,
    "Tidur dalam kubur, syeikh!"

    ReplyDelete