Tuesday, February 24, 2015

Persepsi

Persepsi bukanlah realiti. Rasanya ramai yang telah tahu sesuatu yang objektif boleh memberi persepsi yang berbeza kepada orang yang berbeza. Ini disebabkan setiap individu manusia adalah bersifat subjektif. Setiap orang dilahirkan dari keluarga berbeza, pengalaman hidup berbeza, pengetahuan berbeza, dan macam-macam lagi perbezaan. Tidak seorang pun manusia yang seratus peratus sama. Ini membuatkan kita bersifat subjektif. Jadi, persepsi kita terhadap sesuatu perkara yang sama juga boleh berbeza.
Contoh yang paling mudah untuk kita faham ialah eksperimen psikologi yang digunakan oleh Edwin G. Boring ini. Gambar yang sama di atas tetapi ada yang nampak ia sebagai wanita muda dan ada yang nampak sebagai wanita tua. Persepsi kita sama ada kita melihat gambar tersebut sebagai wanita muda atau tua sebenarnya bergantung kepada pengalaman lepas kita. Di dalam suatu eksperimen lain, sekumpulan responden yang tidak pernah melihat gambar di sebelah ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan secara rahsia. Kumpulan pertama diberikan gambar seorang wanita muda yang hampir sama dengan gambar di atas. Kumpulan kedua diberikan gambar seorang wanita tua yang hampir sama dengan gambar di atas juga. Setiap daripada mereka diminta gambar yang mereka dapat, tetapi merahsiakan gambar tersebut daripada orang lain. Kemudian, gambar seperti di atas ditayangkan kepada kedua-dua kumpulan tersebut dan ditanya pendapat mereka tentang orang di dalam gambar tersebut. Seorang daripada mereka memberi respon, “Wanita itu cantik dan saya berkeinginan untuk menjadikan dia sebagai isteri saya.” Kemudian seorang lagi bersuara, “Kamu gila? Wanita itu tua dan hodoh. Tidak ada siapa yang mahu berkahwin dengan dia.” Berlakulah perbezaan pendapat antara mereka disebabkan persepsi mereka berbeza.
Oleh itu, perbezaaan persepsi sebenarnya disebabkan perbezaan pengalaman lepas yang kita lalui daripada kita lahir sehinggalah diri kita di saat ini. Orang yang ibu bapanya bercerai akan mempunyai persepsi tertahap perkahwinan yang berbeza dengan orang yang ibu bapanya bahagia hingga ke tua. Orang yang banyak membaca berita daripada pihak kerajaan akan mempunyai persepsi yang berbeza dengan orang yang banyak membaca berita daripada pihak pembangkang. Orang yang banyak membaca maklumat-maklumat bathil daripada ahli-ahli bathil akan mempunyai persepsi yang berbeza dengan orang yang banyak membaca maklumat-maklumat haq daripada ahli-ahli haq.

No comments:

Post a Comment